Kementerian Komunikasi & Multimedia

SHAH ALAM, 12 SEPT: Malaysia Book of Records (MBR) mengiktiraf Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo sebagai Kaum Sikh pertama bergelar menteri kabinet di negara ini.

Pengiktirafan itu diserahkan melalui Ketua Eksekutif MBR, Datuk Michael Tio dengan disaksikan Pengarah Operasi MBR, Christopher Wong di pejabatnya, baru-baru ini.

Gobind, 45, yang diberi jolokan ‘Harimau Kecil Puchong’ adalah anak kedua daripada lima beradik kepada mendiang Karpal Singh, pemimpin veteran DAP, yang turut mendapat jolokan ‘Harimau Jelutong’.

Mengikut laman sesawang Asia Samachar, beliau juga menteri Sikh pertama di Asia selain India.

Negara lain yang turut membariskan bangsa Sikh sebagai menteri di peringkat persekutuan adalah India dan Kanada.

Gobind dilantik sebagai ahli parlimen selepas Pilihan Raya Umum 2008, selepas menewaskan penyandang kerusi Parlimen Puchong, Lau Yeng Peng.

Pada 2009, Gobind digantung dari Dewan Rakyat selama 12 bulan kerana menuduh Datuk Seri Najib Razak, yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri, sebagai pembunuh berhubung pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Beliau kemudian menang dalam kes menentang penggantungan dan sekatan gaji serta imbuhan sebagai Ahli Parlimen sepanjang tempoh itu.

Media Selangor Mobile Ap