JomStudi hab pembelajaran digital

KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (Media Prima), Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) dan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) menjalin kerjasama bagi memperkenalkan hab pembelajaran digital JomStudi, di sini, baru-baru ini.

Hab pembelajaran digital itu yang akan dilancarkan pada Januari 2019, sebagai inisiatif yang diterajui oleh organisasi swasta dan disokong oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Majlis memperkenalkan hab pembelajaran digital JomStudi itu, dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Gobind berkata, dengan akses yang mudah terhadap kandungan pendidikan berkualiti dalam talian, ia akan menjana pelbagai peluang terutamanya bagi pelajar yang kurang mendapat perhatian.

Beliau berkata, dengan memperkenalkan hab pembelajaran itu dapat memberikan golongan berkenaan peluang sama rata dengan adanya kemahiran dan pengetahuan yang betul untuk mengharungi masa hadapan berlandaskan digital.

“Saya percaya teknologi digital ialah satu alat yang kita harus gunakan dengan sebaiknya untuk memperkayakan dan mengubah kaedah pembelajaran sedia ada.

“Saya berbesar hati untuk melihat kerjasama seumpama ini daripada Media Prima, Astro dan Digi serta ingin melihat lebih banyak kerjasama sedemikian dijalin antara sektor awam dan swasta dalam kita mengorak langkah ke arah masa hadapan yang lebih baik untuk negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Yang turut hadir pada majlis itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid; Naib Presiden GenNext, Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin; Ketua Pegawai Eksekutif, Digi, Albern Murty dan Ketua Pegawai Kewangan MDEC, Nor Faizah Othman.

JomStudi menyediakan kandungan pendidikan berkualiti untuk ditawarkan kepada pelajar, terutamanya bagi mereka yang mendiami kawasan yang kurang mendapat perhatian.

JomStudi dizahirkan sebagai maklum balas kepada perubahan dalam landskap pembelajaran yang menyaksikan internet berfungsi sebagai alat utama untuk pelajar mendapatkan maklumat.

Menerusi JomStudi, pelajar akan mempunyai akses pada bila-bila masa, di mana sahaja untuk mendapatkan kandungan pendidikan berkualiti yang mematuhi sukatan pelajaran ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) ditawarkan oleh FullAMark dari Media Prima dan Tutor TV dari Astro, manakala platform itu dibangunkan dan dikendalikan oleh Digi.

Sehubungan itu, JomStudi akan diperkembangkan untuk menawarkan kandungan teknologi dan digital, sumber literasi digital dan pembelajaran kemahiran informal menerusi usaha sama dengan pembekal kandungan yang lain.

JomStudi akan menjadi hab ‘berorientasikan pembelajaran sendiri’ dengan pelbagai ciri yang dapat membantu memperkayakan pengalaman pembelajaran seperti data sifar iaitu akses percuma kepada kandungan dari jam 2 petang hingga 8 malam setiap hari dan eksklusif untuk pelanggan Digi.

Sementara itu, Kamal berkata, sebagai syarikat media berintegrasi yang terkemuka di Malaysia, Media Prima berbesar hati untuk menawarkan pelajar akses kepada FullAMark.

Beliau berkata, FullAMark adalah sebuah evolusi digital dizahirkan melalui pengalaman luas The New Straits Times Press Berhad (NSTP) dalam landskap pendidikan di negara ini, menerusi sisipan akhbarnya dalam BH iaitu DIDIK, MINDA dan SKOR serta NST melalui School Times.

“Dengan latihan baharu mengikut format peperiksaan terkini Lembaga Peperiksaan yang dikemas kini setiap minggu, serta interaksi langsung antara pelajar dan e-Cikgu, FullAMark membawakan pengalaman pembelajaran yang aktif dan menyeronokkan.

“Media Prima kekal komited untuk membina negara melalui pendidikan, dengan menggunakan teknologi untuk menawarkan pelbagai manfaat kepada pelajar di luar bandar di seluruh negara, justeru JomStudi menterjemahkan keinginan kami untuk setiap warga Malaysia mendapatkan permulaan yang terbaik dalam kehidupan mereka, tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam suatu kenyataan, di sini.

Berita Berkaitan